Profil Pengasas & Ketua Pegawai Penyelidik ECRC Malaysia


Profil Pengasas & Ketua Pegawai Penyelidik ECRC Malaysia

Shahrul Azzim Abd Aziz, 37, lebih dikenali sebagai Encik Kartografi merupakan seorang jurutera yang beralih kepada bidang penyelidikan kartografi serta merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Penyelidik, Etiquity Cartographic Research Centre (ECRC Malaysia). Beliau kini aktif sebagai konsultan penyelidikan kartografi serta menerajui kajian berkaitan sejarah, geospatial dan analisis berasaskan peta. Beliau turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Kartografi Melaka.

Sebelum memberi fokus sepenuhnya dalam bidang penyelidikan kartografi, Shahrul membina pengalaman lebih sedekad sebagai jurutera dalam sektor korporat, GLC dan syarikat multinasional (MNC) termasuk dalam industri aeroangkasa dan elektronik. Pengalaman dalam bidang kejuruteraan, analisis teknikal, penyelesaian masalah serta pengurusan data menjadi asas penting dalam pendekatan penyelidikan beliau yang menggabungkan teknologi moden dengan kajian sejarah. Minat terhadap peta dan sejarah sebenarnya bermula sejak kecil melalui atlas, glob dunia dan peta. Ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bendahara (SMKDB), Jasin, beliau merupakan satu-satunya pelajar aliran sains tulen yang mengambil subjek Geografi sebagai subjek tambahan dalam peperiksaan SPM. Minat tersebut terus berkembang apabila beliau aktif sebagai Pengerusi Persatuan Sejarah dan Geografi SMKDB.

Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Alam Sekitar), Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UniKL MICET) serta memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), UNITAR International University. Latar belakang akademik dalam bidang alam sekitar turut memberi pendedahan kepada penggunaan elemen kartografi dan GIS melalui subjek seperti Surface & Groundwater Hydrology, Environmental Impact Assessment (EIA), Waste Management, Water Treatment Technology, Environmental Management System dan Environmental Engineering Design yang melibatkan analisis lokasi, data ruang dan pemetaan. Selain pengalaman profesional, beliau turut mencatat pencapaian dalam bidang inovasi apabila menerima Anugerah Teknousahawan Pelajar Terbaik di Technopreneurship & Innovation Symposium & Exhibition, 2012 (Peringkat Kebangsaan).

Kini melalui ECRC Malaysia, Shahrul mengetuai pelbagai projek penyelidikan termasuk Melaka Cartographic Research Project, Malaysia Cartographic Research Project, World Cartographic Research Project, Railway Cartographic Research Project (RailCREP), Railway Cartographic Research Initiative (RCRI) serta Cartographic Research of Melaka Historical Waterway System yang memfokuskan analisis peta lama, sumber arkib dan interpretasi geospatial. Bagi Shahrul, kartografi bukan sekadar menghasilkan peta, tetapi merupakan medium untuk memahami sejarah, geopolitik, perdagangan dan perkembangan tamadun. Dengan menggabungkan pengalaman sebagai jurutera, ilmu penyelidikan sejarah dan teknologi geospatial seperti GIS, penderiaan jauh, satelit serta analisis spatial, beliau berusaha memartabatkan kartografi sebagai bidang penyelidikan penting di Malaysia.